mutakhir

PDRM cekup militan lagi

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur : Polis menahan beberapa suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan militan menerusi beberapa operasi menjelang penganjuran Sukan SEA ke-29 (KL2017).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan adalah warga tempatan dan asing.

“Operasi dijalankan membuahkan hasil seperti dirancang. Kami tahan beberapa suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di seluruh dunia.

“Perincian tangkapan berkenaan akan didedahkan kemudian,” katanya dalam sidang media pada majlis pelancaran modul peningkatan integriti My Psychology Spiritual (MyPS) di Bukit Aman, semalam.

Menjelang penganjuran KL2017, Khalid berkata, Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman melancarkan beberapa siri operasi bersepadu.

Katanya, operasi turut membabitkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang menyediakan alat mengesan radioaktif.

“Matlamat utama operasi ialah mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa,” katanya.

Mengulas insiden keganasan di Barcelona, Sepanyol, beberapa hari lalu, Khalid berkata, PDRM memberi perhatian serius terhadap ancaman keganasan yang membabitkan keselamatan nyawa orang awam.

“Kami mengambil pelbagai langkah untuk menghalang keganasan di negara ini. PDRM sentiasa bersiap siaga dan melakukan rondaan bersama anggota tentera di kawasan tumpuan awam serta pelancong,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 8:11am
d