mutakhir

Sanggup sembam muka dalam sawah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LIMA puluh satu penagih termasuk suami isteri dan sepupu mereka ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi Ops Perdana di sekitar Kubang Pasu petang semalam hingga awal pagi, hari ini.

Dalam operasi itu, 59 individu ditahan, namun lapan daripadanya dibebaskan selepas hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas dadah.

Ketua Unit Risikan Operasi dan Siasatan AADK Kubang Pasu, Mohd Shafieq Ismail berkata, operasi turut dibantu Unit Risikan Sempadan (URS) AADK Bukit Kayu Hitam, anggota polis dari Balai Polis Ayer Hitam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu dan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP).

Beliau berkata, suami isteri dan sepupu perempuan masing-masing berusia 30-an ditahan di rumah di Kampung Lubuk Kawah, 6.30 petang semalam dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Kita turut menahan lelaki berusia 30-an yang berlari dalam keadaan separuh bogel dan sempat sembamkan mukanya ke dalam petak sawah yang berair untuk menyorok, namun berjaya ditahan anggota kami di Kampung Kuala Kerpan 11.30 malam.

"Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa untuk membanteras kegiatan penagihan dadah di daerah ini yang meningkat sejak akhir-akhir ini, " katanya ditemui di lokasi selepas operasi 5.30 pagi hari ini.

Dalam pada itu Mohd Shafieq berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun dan didapati mengambil dadah jenis syabu dan opiate.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 11:55am
d