mutakhir

Bergurau sampai patah kaki

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PELAJAR tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Senawang, Seremban, patah kaki kiri dipercayai akibat dipukul rakan sekelasnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, pelajar lelaki berusia 14 tahun terbabit dikatakan bergurau dengan seorang rakannya.

Bagaimanapun gurauan itu menyebabkan rakannya itu marah lalu berlaku pergaduhan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima laporan kejadian daripada kakak mangsa berusia 43 tahun.

"Mangsa mendakwa bergurau dengan rakannya di dalam kelas menyebabkan rakannya itu marah.

"Mangsa meminta maaf sebelum berlakunya pergaduhan. Suspek kemudian mengangkat badan dan jatuhkan kaki mangsa ke lantai menyebabkan patah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

Katanya, polis sudah mengenal pasti suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 5:07pm
d