mutakhir

Tragedi pukat udang

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Nelayan warga emas maut selepas lehernya terbelit tali pukat udang yang dinaikkannya dalam kejadian di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Sepetang, Taiping semalam.

Dalam kejadian 3 petang, mangsa Teo Ho Hin, 61, turut parah di dada terkena objek tajam pada pukat itu.

Rakan mangsa yang enggan nama dikenali berkata, ketika kejadian, mangsa terlebih dahulu menghidupkan enjin bot yang digunakan.

"Sewaktu enjin dihidupkan dan ketika menaikkan pukat itu,difahamkan badan mangsa tersangkut pada tali yang digunakan seterusnya menyebabkan ia membelit dada dan tangan kanannya.

"Melihat mangsa terperangkap, saya segera mematikan enjin dan terus memotong tali pukat untuk cuba menyelamatkan mangsa namun gagal," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, berikutan kejadian itu dia segera membawa mangsa ke jeti di Kuala Sepetang dan tiba sekitar 7 malam sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Katanya, pada Ahad lalu sekitar 3 pagi mereka keluar dari jeti untuk menangkap udang.

"Tidak ada sebarang petanda pelik berlaku dan saya terkilan dengan kejadian yang berlaku apatah lagi ianya berlaku dihadapan mata saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, sumber polis mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 6:49pm
d