mutakhir

Maut nahas empat kenderaan

Oleh Rosliza Mohamed

PEMBANTU tadbir wanita maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Kampung Paya Lada, Kadok, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, penumpang Perodua Kenari, Rusmini Mohd Razali, 47, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ibu mangsa dan anak lelakinya yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Manakala, dua pemandu Perodua Alza dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Bharu Asisten Superintendan Hamizon Che Harun berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki Rusmini bersama ibu dan anak lelakinya dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kadok sebelum berhenti di tengah garisan putih untuk memasuki simpang kanan ke arah Ketereh.

"Lori dari arah sama tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar kereta mangsa sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua kereta Perodua Alza dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.

"Mangsa tercampak ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala ibu dan anaknya cedera menerima rawatan di HRPZ II," katanya.

Hamizon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk bedah siasat.

"Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Keterangan gambar

KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan di Kampung Paya Lada, Kadok, Kota Bharu, pagi tadi.

#kw kemalangan maut

#loc 6.1167854999999998, 102.27768380000001

Gambar Mohd Faris Zainuldin

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 6:55pm
d