mutakhir

Mengaku salah melarikan, mengurung kanak-kanak

Oleh Iskandar Shah Mohamed

LIMA rakan dijatuhi hukuman penjara tiga hingga lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, selepas mengaku bersalah melarikan dan mengurung kanak-kanak lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian selepas meneliti semua hujahan pendakwaan dan pembelaan selain laporan akhlak atau sosial dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh, Muhammad Norhafizie Abdullah, 21, Mohammad Fairderus Suhaini, 29, Nashamizie Shahidan, 22, dan dua remaja lelaki bawah umur.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa dengan niat bersama melarikan mangsa yang berusia lima tahun untuk menyebabkan kurungan sulit dan salah terhadap kanak-kanak itu.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Maznah, Klang, kira-kira 2 pagi, 22 Januari 2015.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Ghazali dalam penghakimannya berkata, berharap hukuman itu dijadikan sebagai pengajaran bermakna kepada semua tertuduh untuk insaf.

“Tiga daripada kamu dijatuhi hukuman penjara selama 42 bulan, manakala masing-masing seorang dipenjara empat dan lima tahun bermula dari tarikh tangkapan (31 Januari 2015)," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Abdul Mutalib dalam hujahan akhirnya berkata, selain faktor kepentingan awam, mahkamah perlu mengambil kira kesan psikologi dialami keluarga mangsa sepanjang tempoh 10 hari kanak-kanak itu dilarikan tertuduh.

“Mangsa yang masih kecil bukan saja dilarikan dan dikurung di sebuah pangsapuri di Port Dickson, Negeri Sembilan, malah tubuhnya dimasukkan dadah antaranya bertujuan membuat mangsa leka atau tidur sepanjang tempoh berkenaan.

“Ia perbuatan yang jijik dan turut menjadikan ibu bapa mangsa tidak keruan kerana memikirkan keadaan mangsa sama ada hidup atau sebaliknya," katanya memohon hukuman berat ke atas tertuduh yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd Shaiful Nizam Mohd Noor, Anuar Rauf, Siti Khadijah Bahaudin dan Akmal Jusoh bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana menyesali perbuatan itu dan ia kesalahan pertama selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 9:31pm
d