mutakhir

WG Unity tiada lagi pemain Malaysia

Oleh Hazril Md Nor

TIADA lagi pemain Malaysia dalam skuad Dota 2, WarriorsGaming Unity (WG Unity) selepas kehilangan bakat tempatan yang dulunya dianggotai oleh Nana, xNova, ChYuan, KaNG dan Wenn.

Sebaliknya skuad itu mengumumkan barisan pemain baru, Khaled El-Khabbash (sQreen), Galvin Kang Jian Wen (Meracle), Feras Hroob (Feero), Kim Tae-sung (Velo) dan Kenneth Coloma (Flysolo) bagi menghadapi kejohanan Dota 2 yang akan disertai dalam masa terdekat.

Meracle dari Singapura akan bermain sebagai posisi satu, Feero (Jordan) di posisi kedua manakala Velo (Australia) di posisi ketiga.

Melengkapkan skuad itu ialah pemain dari Filipina, Flysolo yang bermain untuk posisi keempat. Pemain Russia, sQreen bermain untuk posisi kelima dan turut dilantik kapten bagi skuad berkenaan.

Jurulatih WG Unity, Beh Kok Weng berkata, rombakan itu dibuat selepas beberapa lama meninjau senario profesional Dota 2 yang kian berubah.

"Tak dinafikan, pemain import akan memberi impak sangat besar kepada pasukan ini. Pemain veteran mempunyai potensi cukup besar untuk pamerkan persembahan terbaik dalam setiap kejohanan disertai selepas ini.

"Bukan tak mahu pilih bakat tempatan tapi tiada lagi pemain Malaysia yang tidak terikat dengan organisasi untuk direkrut ke WG.Unity jadi keputusan ini sangat sukar buat kami," katanya.

Menurutnya, skuad baru ini akan tiba di Malaysia tak lama lagi untuk menjalani latihan sepenuhnya di sini.

"Saya belum berjumpa dengan mereka tapi yakin dengan kebolehan masing-masing. Mereka semua pemain berpengalaman dan sudah lama dalam industri jadi saya percaya tiada masalah komunikasi antara satu sama lain.

"Mereka juga akan menjalani latihan bersama di sini bagi menghadapi kejohanan seterusnya," katanya.

Pencapaian terbaik WG.Unity sebelum ini ialah tempat keenam di Boston Major pada Disember 2016 dan mereka berjaya membawa pulang wang kemenangan AS$125,000 (RM535,125).

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 9:51pm
d