mutakhir

24 peserta berentap

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Astro semalam mengumumkan nama 24 peserta dalam program realiti edisi khas, AF Megastar yang mengumpulkan beberapa bekas juara dan peserta kegemaran di Akademi Fantasia (AF) musim terdahulu.

Antara bekas juara yang terbabit ialah Zahid (AF2), Faizal Ramli (AF4), Mila Jirin (AF5), Shahir (AF8), Faizul Sany (AF2013), Firman (AF2014), Sufi Rashid (AF2015) dan Amir (AF2016).

Peserta kegemaran yang disenaraikan pula ialah Rosma (AF1), Bob (AF2), Adam (AF2), Anding (AF2), Marsha Milan (AF3), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah Ruhaila (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, ini adalah kali pertama edisi khas sebegini diterbitkan.

“Jika dilihat daripada semua rangkaian AF yang pernah diadakan di beberapa negara lain termasuk Thailand dan Indonesia, ini adalah kali pertama edisi khas sebegini dianjurkan,” katanya.

Raqim berkata, mereka memberi tawaran kepada semua bekas juara AF menyertai program ini, namun tidak semua memberikan persetujuan kerana terikat dengan komitmen lain termasuklah juara AF3, Mawi.

“Kami tak paksa semua bekas juara menyertai program ini. Ia terbuka untuk mereka. Siapa yang berminat boleh menyertainya,” katanya.

AF Megastar menampilkan Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara dan akan memulakan siaran pada 28 Ogos ini menerusi program kapsul Studio AF Megastar.

Selain Studio AF Megastar pada setiap Isnin hingga Jumaat, penonton juga boleh menonton pelbagai aksi tambahan menerusi Studio AF Megastar Plus setiap Sabtu bermula 2 September depan.

Konsert mingguan AF Megastar berlangsung selama lapan minggu bermula 3 September ini dan diiringi program Spotlight AF Megastar setiap kali sebelum konsert bermula.

AF Megastar akan diadili berdasarkan sistem permarkahan 60 peratus oleh juri profesional, manakala 40 peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan online.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 6:46am
d