mutakhir

Waris terima sumbangan TH

Oleh HM Digital

Kuantan: Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah, Fatimah Senik, 69, di FELDA Bukit Goh, di sini, semalam.

Fatimah meninggal dunia akibat pendarahan otak pada jam 5 petang waktu Arab Saudi pada 16 Ogos lalu di Hospital King Abdul Aziz, Makkah.

Pengarah TH Helena Hashim menyampaikan sumbangan Takaful khairat kematian sebanyak RM1,500 serta air zam-zam dan kurma kepada anak Fatimah, Norasikin Awang Ahmad, 40.

Norasikin berkata, ibunya berlepas ke Tanah Suci bersama bapanya, Awang Ahmad Deraoff, 71, dan abang sulungnya Mazuki, 50, pada 11 Ogos lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Terengganu.

“Selepas dua hari tiba di Tanah Suci, emak dilaporkan pengsan ketika menunggu giliran hendak tawaf bersama ayah dan abang.

“Pasukan perubatan yang berada di situ segera membawa emak ke hospital dengan menanggalkan semua tag serta dokumen pengenalan diri untuk diserahkan kepada ayah namun tidak dimaklumkan emak dibawa ke hospital mana,” katanya.

Katanya, mungkin timbul masalah komunikasi antara ayah dan pegawai perubatan ketika mereka membawa ibu untuk menerima rawatan.

“Pihak hospital memaklumkan TH terdapat pesakit tanpa identiti.

“TH mengirimkan gambar pesakit berkenaan dalam keadaan kritikal dan benar itulah ibu kami,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:05am
d