mutakhir

'Tak dapat lihat kubur ma'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: “Sebelum Ma (ibu) berangkat ke Tanah Suci, dia sempat berseloroh, kami tidak akan melihat kuburnya,” kata Noor Raihan Rukman, 34, anak kepada Allahyarham Noor Aini Muhammad, 55, yang meninggal dunia di Hospital Aldar, Madinah akibat jangkitan kuman pada 9 Ogos lalu.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, ibunya ke Tanah Suci ditemani bapanya, Rukman Sidek, 57, pada 25 Julai lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tiga hari sebelum bertolak arwah menyatakan mahu dimandikan di Tanah Suci.

“Sebelum pergi, Ma ada berseloroh dengan mengatakan jika dia meninggal dunia, kami tidak dapat melihat kuburnya. Tetapi kami tidak memikirkan perkara itu kerana ia sudah menjadi cita-cita setiap jemaah haji.

“Malah arwah sempat berpesan kepada adik iparnya (Zarina Mat Yusof, 37) agar meneruskan majlis pertunangan anak saudaranya pada hari kedua Aidiladha tanpa menunggu kepulangannya.

“Ternyata hasratnya menjadi kenyataan, dan kami adik-beradik reda dengan pemergiannya itu,” katanya ketika menerima kunjungan Pengarah Tabung Haji (TH) Kelantan Wahyudin Tamami di rumahnya, di Kampung Kubang Mas, Tendong di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum meninggal dunia, ibunya tidak sedarkan diri pada 1 Ogos sebelum disahkan separa stabil pada 3 Ogos lalu akibat jangkitan kuman di Hospital Raja Fahd, Madinah.

“Bagaimanapun, sehari selepas itu arwah dirujuk ke Hospital Aldar, Madinah berikutan keadaannya mula kritikal apabila otaknya membengkak selain mengalami komplikasi jantung dan buah pinggang.

“Sebelum pergi, ma memang sihat dan tidak ada penyakit, mungkin takdirnya untuk meninggal dunia di sana,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:05am
d