mutakhir

Nafi hantar gambar lucah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMBANCUH air dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas lima tuduhan menghantar gambar berunsur lucah kepada wanita melalui WhatsApp, tiga tahun lalu.

Nadzri Md Noh, 37, yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi semua pertuduhan, lelaki yang bekerja di kedai makan di Pontian, Johor, didakwa dengan secara sedar memuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya termasuk gambar alat kemaluannya menggunakan perkhidmatan aplikasi itu dengan niat menyakitkan hati orang lain yang kemudian dibaca oleh pengadu.

Perbuatan itu dilakukan OKS antara 12.34 tengah malam pada 29 Disember 2014 hingga 1.49 pagi, 31 Disember 2014.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Lelaki itu berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM3,000 bagi semua pertuduhan terhadap OKS.

Nadzri yang tidak diwakili peguam merayu jaminan itu dikurangkan, namun mahkamah membenarkan jumlah yang dicadangkan pihak pendakwaan dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 2:56pm
d