mutakhir

Ibu baru habis pantang positif dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA baru habis pantang ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Kampung Naga Lilit, Kulim dalam serbuan Ops Perdana awal pagi hari ini.

Wanita berusia 23 tahun yang mempunyai tiga anak perempuan termasuk bayi berusia 45 hari didapati positif dadah jenis morfin dan ditahan 7.15 pagi .

Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK Kedah, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad berkata, turut ditahan suami wanita itu yang berusia 30-an yang positif dadah jenis syabu dan morfin namun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya hanya menahan wanita itu dan ketika serbuan dilakukan dia berada bersama suami dan dua anaknya manakala anak sulungnya yang berusia empat tahun berada dalam jagaan adiknya.

"Wanita itu adalah antara penagih dadah yang ditahan pada hari terakhir Op Perdana hari ini dan sepanjang tiga hari kita berjaya menahan seramai 163 penagih.

"Operasi ini akan diteruskan secara berkala hingga Disember depan untuk menangani masalah yang berkaitan penagihan dadah yang meningkat di negeri ini," katanya pada sidang media di pejabat AADK Kubang Pasu, hari ini.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 4:40pm
d