mutakhir

263 mesin slot judi dimusnahkan

Oleh Ahmad Ismail

SEBANYAK 263 mesin slot judi yang dirampas hasil Ops Bersepadu dijalankan pihak berkuasa di daerah ini sepanjang tahun lalu dimusnahkan di stor pelupusan Majlis Daerah Segamat (MDS), hari ini.

Pegawai Daerah Segamat Mohd Haffiz Ahmad berkata, rampasan adalah hasil tindakan bersepadu dijalankan Pejabat Daerah Segamat, MDS,

Majlis Daerah Labis (MDL), Majlis Agama Islam Daerah Segamat dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Katanya, semua mesin slot berkenaan dirampas sepanjang Ops Bersepadu yang dijalankan mulai September hingga Oktober tahun lalu di sekitar daerah ini.

"Pihak berkuasa di daerah Segamat sentiasa memantau dan membasmi kegiatan mesin slot judi yang kini menggunakan pelbagai helah untuk beroperasi secara haram.

"Selain merampas peralatan yang digunakan, pihak berkuasa juga mengambil tindakan kepada pemilik premis ," katanya.

Menurutnya, bekalan elektrik dan air ke premis berkenaan dipotong dan pemilik yang disenarai hitam akan berdepan masalah untuk membuat penyambungan semula.

Mohd Haffiz berkata, semua mesin slot dirampas mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang dimusnahkan itu dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.

"Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mesin slot judi di daerah ini supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajar untuk membasminya," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 5:07pm
d