mutakhir

Deklamasi 60 sajak demi Hari Merdeka

Oleh Mary Victoria Dass

ENAM PULUH penuntut Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) tidak melepaskan peluang meraikan bulan kemerdekaan negara Ke-60 dengan mendeklamasikan 60 sajak patriotik secara bergilir-gilir.

Program berkenaan yang diadakan di Dewan Besar Blok G, Kampus Induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) Kota Tinggi dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A Rahman.

Abdul Rashid berkata, peserta program itu terdiri daripada kumpulan penuntut dari Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP), Sekolah Kejuruteraan dan Sains Kreatif (SKSK) serta Sekolah Pengurusan dan Sains Sosial (SPSS) Kolej YPJ.

Menurutnya, program berkenaan membolehkan kumpulan penuntut dan warga KYPJ menzahirkan semangat cintakan negara dan memeriahkan sambutan kemerdekaan.

"Sebanyak 60 sajak patriotik dideklamasikan sebagai simbolik sambutan kemerdekaan Ke-60.

"Penuntut mendeklamasikan sajak dengan penuh semangat mulai 9 pagi hingga 10 pagi hari ini.

"Saya yakin program ini juga mampu menerapkan kefahaman berkaitan sejarah negara dalam diri penuntut," katanya.

Abdul Rashid berkata, KPYPJ tidak pernah ketinggalan mencipta idea baru bagi menganjurkan sambutan ambang kemerdekaan dengan cara tersendiri.

"Sebelum ini KPYPJ pernah mengadakan koir kemerdekaan bergerak di Plaza Angsana dan Pasar Karat Johor Bahru," katanya.

Turut diadakan Pameran Potret Pemimpin Negara yang dihasilkan kumpulan pelajar Diploma Seni Bina dan Pameran Ukiran Buah bertema warna warni 1Malaysia.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:00pm
d