mutakhir

Enam wanita Filipina diselamatkan polis

Oleh Junaidi Ladjana

POLIS menyelamatkan enam wanita Filipina daripada dieksploitasi untuk seks dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Peringatan, Jalan Petagas, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan 9.30 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut menahan seorang lelaki dan dua wanita dipercayai orang tengah sindiket pelacuran.

Selain itu, polis turut merampas 10 telefon bimbit, mata wang Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura serta sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan intipan dan seterusnya menahan seorang lelaki dan dua wanita kerana disyaki memperdagangkan orang bagi tujuan pelacuran.

“Siasatan mendapati enam wanita itu berasal dari Zambonga, Filipina dikerah menjadi pelayan seks dan dihantar sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan, karaoke dan hotel sekiranya ada permintaan untuk perkhidmatan seks," katanya hari ini.

Chandra berkata, semua mangsa masuk ke Sabah secara berperingkat melalui pengangkutan bot dari Filipina yang diurus ejen.

"Semua mangsa pada mulanya dijanjikan bekerja sebagai pelayan di kelab malam dan restoran namun sebaik tiba melalui Sandakan, Semporna dan Tawau, mereka dibawa ke bandar raya ini dan ditempatkan di rumah sewa suspek sebelum dikerah menjadi pelayan seks.

"Mangsa mengaku tidak dibayar gaji atau diberi apa-apa komisen serta ganjaran selama bekerja dengan suspek.

"Mangsa turut dikawal ketat oleh suspek dan tidak dibenarkan sesekali keluar dari rumah sewa tanpa ditemani suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 47 dan dua wanita warga Filipina berusia 25 dan 47 tahun direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut manakala semua mangsa dihantar ke pusat perlindungan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 dan 13(e) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migram (ATIPSOM) 2007.

"Sehubungan itu, polis menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 10:10pm
d