mutakhir

KD Maharaja Lela dilancarkan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

KAPAL Tempur Persisir (LCS) tercanggih pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinamakan Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela dilancarkan hari ini di dermaga Boustead Naval (BN) Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut.

Kapal pertama daripada enam LCS bernilai RM9 bilion yang dibina BN Shipyard itu akan dilepaskan buat pertama kali ke perairan hari ini.

Majlis penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Hishammuddin dalam ucapannya berkata, nama Maharaja Lela dipilih sempena nama Datuk Maharaja Lela yang juga seorang pahlawan Melayu yang memimpin perjuangan rakyat Perak bagi menentang penjajahan British di negara ini.

Beliau berkata, pelancaran kapal itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat, khususnya teknologi ketenteraan.

"Ia kerana KD Maharaja Lela adalah kapal kelas frigat pertama dibina sepenuhnya syarikat tempatan iaitu BN Shipyard Sdn Bhd," katanya.

Sementara itu, Ahmad Ramli dalam ucapannya pula berkata, kapal tempur terbesar dalam armada TLDM itu mempunyai rekabentuk halimunan atau 'stealth' yang sukar dikesan menerusi radar akan diserahkan kepada TLDM pada 2019 selepas menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan.

Katanya, kapal berkenaan memiliki keupayaan peperangan empat dimensi dengan mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini.

Kapal yang mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil antipermukaan, sistem pelancar misil antiudara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Gambar oleh Abdullah Yusof

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 12:25pm
d