mutakhir

Luar biasa!

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerjasama semua media tempatan bagi menggerakkan kempen World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) mencetuskan fenomena luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata, sehingga kini gerakan WQH dan MQH menjangkau melebihi 160 juta capaian di media sosial.

“Sejak kerjasama media ini terjalin kita lihat peningkatan lebih empat kali ganda berbanding kempen sebelum ini.

“Peningkatan ini memperlihatkan media tempatan sangat berperanan dalam membantu penyaluran maklumat terutama hebahan berhubung dua program ini.” katanya.

Marhaini berkata, sebelum kerjasama media ini, pihaknya hanya mencapai 46.8 juta di media sosial.

Beliau berkata, momentum besar ini sebenarnya dapat menjayakan program WQH dan MQH, sekali gus mengembalikan masyarakat kepada panduan kehidupan iaitu al-Quran.

“Ini baru kerjasama antara media tempatan, bayangkan kalau semua pihak bergabung, pastinya lebih daripada fenomena yang akan kita lihat.

“Namun, Alhamdulillah usaha memartabatkan al-Quran dan mengajak masyarakat kembali berinteraksi dengan al-Quran mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

WQH akan berlangsung pada 31 Ogos di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana pada jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Kempen berinteraksi dengan al-Quran bertemakan ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’ diadakan secara serentak di seluruh dunia.

Program MQH pula diadakan di Dataran Merdeka bermula dengan Gema Wahyu pada 5 petang, diikuti Gema Takbir dan acara kemuncaknya jam 8.30 malam yang menghimpunkan qari dalam dan luar negara serta selebriti memperdengarkan bacaan surah Yassin dan beberapa elemen lain.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 1:00pm
d