mutakhir

Wanita berang tak dapat dadah

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI parah selepas ditikam di dada kanan oleh wanita yang tidak berpuas hati dalam urusan jual beli dadah di gerai makan di Parit Jawa, Muar kira-kira 1.30 petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, wanita berusia 26 tahun berkenaan menikam mangsa dengan pisau berukuran 22 sentimeter selepas mereka bergelut dan disaksikan orang ramai.

Beliau berkata, akibat kejadian mangsa, 38, rebah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar dan kini dilaporkan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

"Suspek ditahan dalam tempoh lima jam selepas kejadian di sekitar Parit Jawa dan hasil ujian saringan air kencing mendapat suspek positif Syabu dan Heroin.

"Hasil siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang gagal memberikannya dadah selepas membayar sejumlah wang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Suspek yang tidak bekerja turut mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (NFA), pada 2015," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 1:17pm
d