mutakhir

Bekas pengarah urusan bebas 2 tuduhan

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, melepaskan dan membebaskan bekas pengarah urusan syarikat minyak dan gas, Tanjung Offshore Berhad dari dua pertuduhan membabitkan transaksi jual beli ekuiti saham syarikat bernilai lebih RM34 juta, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Madihah Harullah terhadap Datuk Harzani Azmi, 50, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Harzani didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan mengarahkan firma guaman Mathews Hun Lachimanan untuk memindahkan wang berjumlah RM13.3 juta daripada akaun pelanggan di Standard Chartered Berhad milik Mathews Hun Lachimanan ke akaun pelanggan di Kenanga Investment Bank Berhad.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di 10-3, Batu 3, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur antara 14 November dan 27 November 2013.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu suatu kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of Remaining Shares In Gas Generators (M) Sdn Bhd (GASTEC)’ berhubung pembelian 49 peratus saham syarikat Gas Generators dimiliki Syarikat Appolusa Sdn Bhd pada harga RM34.3 juta kepada Ahli Lembaga Pengarah Tanjung Offshore.

Kertas cadangan itu dikemukakan melalui Tan Seow Hoe, Ketua Bahagian Kewangan Korporat Tanjung Offshore Berhad, yang mana tertuduh tahu nilai saham RM34.3 juta itu adalah tidak benar kerana melebihi nilai sebenar sehingga mendorong ahli lembaga pengarah Tanjung Offshore memasuki satu perjanjian jual beli saham antara Appolusa Sdn Bhd dan Tanjung Offshore bertarikh 21 Oktober 2013 yang didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Pejabat Tanjung Offshore Berhad, Wisma UOA, Damansara, pada 10 pagi, 21 Oktober 2013.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 366(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zaki Mohd Salleh dan Syafinaz Shabudin manakala Harzani diwakili barisan peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk N Sivananthan.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 2:19pm
d