mutakhir

Selesai kes samun dalam 24 jam

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan empat individu termasuk dua remaja perempuan berhubung kes menyamun kedai di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, hari ini.

Mereka ditahan pada 6.30 pagi selepas serbuan di hotel dekat Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas RM675 dan 67 keping kad prabayar pelbagai syarikat.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan kejadian samun di kedai telefon bimbit 24 jam pada 2.15 pagi.

Kejadian itu membuatkan peniaga kedai berusia 34 tahun yang berada seorang diri di kedai kerugian wang tunai kira-kira RM1,500 dan pelbagai kad prabayar dianggar bernilai RM2,500.

"Ketika kejadian, suspek lelaki menyamar sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan pisau, meletakkannya di leher mangsa dan mengambil wang tunai dari dalam laci simpanan wang.

“Sementara itu, suspek wanita tunggu di luar kedai.

"Apabila suspek melarikan diri menaiki kereta, mangsa yang tidak mengalami kecederaan cuba mengejarnya, sebelum datang ke balai polis terdekat," katanya.

Katanya, suspek lelaki berusia 26 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dalam bangunan dan dadah.

"Suspek wanita berusia 23 tahun pula mempunyai satu rekod jenayah lampau bagi kes dadah, manakala dua remaja perempuan berusia 19 dan 18 tahun pula tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Dengan tangkapan itu, Shahurinain berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata itu dalam tempoh 24 jam.

Katanya, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 3:01pm
d