mutakhir

Hilang selepas hantar isteri

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

SEORANG lelaki warga emas yang dipercayai mengalami hilang ingatan dilaporkan hilang selepas menghantar isterinya di kawasan Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi, Andrew Wong Hin Kok, 77, disyaki memandu kereta dan menghantar isterinya di klinik itu.

Sebaik tiba di situ, dia kemudian meninggalkan isterinya berhampiran klinik sebelum memandu kereta untuk mencari parkir.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, insiden kehilangan Andrew hanya disedari oleh isterinya selepas lelaki tidak kelihatan di klinik itu.

Katanya, isteri lelaki itu kemudian meminta salah seorang daripada anak mereka untuk menjemputnya di klinik berkenaan.

"Bimbang akan keselamatan lelaki yang mengalami hilang ingatan itu, isteri dan anaknya kemudiannya berusaha mencari lelaki itu di sekitar kawasan Luyang namun tidak berjaya.

"Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Luyang untuk meminta bantuan," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pengadu, pihaknya kini menjalankan gerakan menjejaki lelaki terbabit.

"Setakat ini, kes terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

"Bagaimanapun, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk segera tampil bagi membantu usaha pencarian," katanya.

caption:

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 4:01pm
d