mutakhir

Padah buat tuntutan elaun palsu

Oleh Norasikin Daineh

LAPAN Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas 57 pertuduhan membabitkan tuntutan elaun palsu lebih masa sebanyak RM126,757.24.

Semua tertuduh yang bertugas di Klinik Oftalmologi HQE 1 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh, Mohd Rosidih Mohd Saidi, 38, Terence Linchos, 38, Jaduin Untop, 30, Zulkifli Arun, 28, Juraineh Musalim, 27, Noor Salim Mohd Zin, 27, Mohd Akmal Hafiz Mohamad Ariff, 26, dan Naza Fadirul@Mick Ab Satar, 33.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengemukakan dokumen tuntutan berkenaan di Pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia Sabah, Wisma Perindustrian, Kota Kinabalu antara 1 Februari 2016 dan 2 Jun 2016.

Bagi pertuduhan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Akmal dan Naza Fadirul turut masing-masing turut berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa raya dari SPRM Rozanna Abd Hadi, Rustam Sanip dan Penolong Pesuruhjaya Awang Samsul Baharam Bungso.

Semua tertuduh diwakili peguam Hairul V Othman dan Dominic Chew Ban Huat.

Abu Bakar membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan antara RM20,000 dan RM30,000.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 5:00pm
d