mutakhir

23 penagih dadah ditahan

Oleh Nur Syazwana Mansor

DUA puluh tiga penagih ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan dalam operasi di perkampungan nelayan Kampung Kuala Sala, Yan, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, operasi dijalankan hasil aduan orang ramai berhubung kewujudan ‘sarang’ penagihan dadah di persisiran pantai.

Katanya, operasi bermula 3 petang hingga 9 malam itu disertai 10 anggota AADK bersama lapan anggota polis serta tujuh anggota RELA diketuai Wan Noor Shah Abdullah.

Menurutnya, kawasan serbuan itu menjadi tempat penagih melepaskan gian dan masih aktif walaupun pernah diserbu sebelum ini.

"Pihak AADK turut menjalankan risikan sejak seminggu lalu bagi memastikan operasi ini membuahkan hasil.

"Ada penagih yang bertindak memecut motosikal untuk melarikan diri, meredah sungai dan bendang, namun dapat ditahan kerana kawasan itu dikepung," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Seramai 13 individu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 manakala 10 orang diserahkan kepada polis untuk disiasat menurut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 5:06pm
d