mutakhir

Ada rekod dadah juga

Oleh Ili Shazwani

LELAKI yang ditahan susulan penemuan pistol di sebelahnya ketika terbabas dalam kemalangan di Jalan Alor Redis, Kangar, semalam turut didapati memiliki rekod dadah.

Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata, pada masa sama pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada pistol separuh automatik itu digunakan dalam kegiatan jenayah lain sebelum ini.

"Kami juga menyiasat motif lelaki berusia 32 tahun itu membawa pistol berisi peluru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis juga memperoleh perintah reman tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki lima peluru.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar Monica Joseph Gaisah bermula hari ini sehingga 30 Ogos ini.

Difahamkan, pistol itu ditemui oleh penduduk kampung yang datang membantu lelaki itu selepas dia terbabit kemalangan di Jalan Alor Redis, Kangar, 11 pagi semalam.

Pistol itu ditemui di sebelah suspek yang jatuh dari motosikal ditungganginya selepas dia hilang kawalan dan terjatuh ke dalam sawah padi.

Penduduk kampung kemudian menahan suspek yang tidak dapat melarikan diri akibat kecederaan pada kaki sebelum menyerahkannya kepada polis.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 7:06pm
d