mutakhir

[UPDATE] Terbaring di atas rumput

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

LELAKI warga emas yang dilaporkan hilang selepas menghantar isteri di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu, semalam, ditemui selamat di Kampung Sugud, Penampang, hari ini.

Andrew Wong Hin Kok, 77, ditemui dalam keadaan terbaring di atas rumput oleh penduduk kampung di tepi Proton Wira berhampiran kebun, pada 10.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebaik dihampiri, lelaki itu dikatakan dalam keadaan bingung di sebelah kenderaannya yang dipercayai rosak.

"Polis menerima maklumat pada 1.45 tengah hari daripada seorang penduduk dikenali sebagai Sylvester Jivoins,77, yang menemui lelaki itu di kawasan kebunnya pagi hari ini.

"Sebaik menerima panggilan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, lelaki itu dilaporkan hilang selepas menghantar isterinya ke Klinik Kesihatan Luyang, 10.35 pagi, semalam.

"Hasil temubual terhadap lelaki itu, dia mengaku mengalami masalah ingatan.

"Ketika kejadian, dia memandu kenderaannya sehingga tersesat ke Kampung Sugud. Bagaimanapun, Andrew kini berada dalam keadaan sihat dan kita turut menasihatkan ahli keluarganya untuk membawa lelaki itu ke Hospital Mesra Bukit Padang bagi menjalani rawatan lanjut, " katanya.

Chandra dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga lelaki itu berjaya ditemui.

"Kita juga berkesempatan menyampaikan cendera hati terhadap lelaki itu kerana kebetulan esok (25 Ogos) adalah hari jadinya,"katanya.

Berita berkaitan:

Hilang selepas hantar isteri

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 7:39pm
d