mutakhir

Konvoi bawa mesej penting

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Bangi: “Sebagai warga pendidik, kami harus peka dengan aktiviti yang dapat menjiwai golongan remaja seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi, tetapi pada masa sama membawa mesej penting buat mereka.”

Demikian dikongsikan Safiruddin Saud, 50, yang menjadi antara 20 peserta Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang, dalam kembara patriotik selama empat hari menjelajah sekolah asrama harian di negeri ini bagi menyampaikan mesej penghayatan kemerdekaan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu, Selangor itu berkata, faktor usia dan kesibukan tugas bukan penghalang baginya menamatkan perjalanan hampir 500 kilometer itu bermula 21 Ogos lalu.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah untuk melihat bagaimana kembara ini dapat menyemarakkan semangat cintakan negara bukan saja dalam kalangan peserta, bahkan pelajar sekolah yang turut mendapat pendedahan di setiap lokasi persinggahan kami.

“Kita tidak mahu pelajar beranggapan tugas guru ini sekadar mengajar di dalam kelas atau di sekolah saja, sebaliknya banyak lagi platform lain seperti konvoi ini untuk mendidik mereka mengenai erti pengorbanan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan konvoi yang berakhir di SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim.

Hadir sama, Pengetua SMK Jalan Tiga Ishak Abdullah dan Penyelia Kanan Asrama Jabatan Pendidikan Selangor merangkap Penyelaras Program Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang, Rosli Kabil.

Sementara itu, Rosli berkata, konvoi memasuki tahun ketiga sejak 2015 itu membabitkan ahli Selangor Teachers Bike Club (STBC) yang menyasarkan sekolah asrama harian di 10 daerah negeri Selangor itu bagi membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar.

“Tujuan kita adalah mahu memeriahkan suasana asrama harian ini yang selalunya sepi dan suram menerusi pembabitan mereka dalam menghiasi sekolah dan asrama dengan Jalur Gemilang.

“Ini secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat patriotisme sesama mereka selain merapatkan hubungan antara pelajar dan guru melalui aktiviti sambutan ambang kemerdekaan yang ke 60 tidak lama lagi,” katanya.

Antara sekolah asrama harian yang dilawati sepanjang empat hari konvoi berkenaan adalah Sekolah Tinggi Klang, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, SMK Dato Mustaffa, Sabak Bernam, SMK Shah Alam dan SMK Damansara Utama.

Turut terbabit adalah SMK Telok Panglima Garang, SMK Kuala Kubu Bharu, SMK Sungai Pusu, SMK Bandar Baru Salak Tinggi sebelum berakhir di SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 9:40am
d