mutakhir

Mercu kasih

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Meskipun berkerusi roda, Normah Yamin, 62, tetap tabah dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bagi menjaga dua anak bujang yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Normah yang juga menghidap penyakit tiga serangkai yang kronik berkata, dia bergantung kepada kerusi roda sejak tiga tahun lalu berikutan masalah kesihatan dialaminya kian serius hingga menyebabkan dia cepat penat selain pergerakannya terbatas.

Wanita itu berkata, dua anaknya, Rashid Md Saad, 27, dan Mohd Hisham Md Saad, 33, mengalami kecacatan ketika masing-masing berusia dua tahun akibat diserang demam panas.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan faktor genetik turut menyebabkan dua beradik itu mengalami masalah tulang belakang bengkok menyebabkan mereka sukar berdiri dan berjalan.

“Saya tetap bersyukur dengan apa yang ada sekarang, sebelum ini saya sayu melihat dua beradik itu yang tidak dapat membesar seperti orang normal lain dan sekarang ini saya pula berkerusi roda.

“Bagi saya semua ini ada hikmah dan rahmat daripada Allah.

“Sebelum ini saya menjalani kehidupan normal, namun masalah darah tinggi dan kencing manis yang serius menyebabkan pergerakan saya terbatas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Udang, di sini, semalam.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Yang di-Pertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka Datuk Mohammad Fazil Shafie, yang turut menyampaikan cenderahati dan sumbangan wang tunai.

Ibu gigih itu berkata, mereka kini bergantung kepada suaminya, Mad Saad Karim, 68, bekas tentera yang kini berkhidmat sebagai siak di masjid berhampiran kediaman mereka, selain bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia memberitahu, walaupun berkerusi roda, Rashid tetap mahu berdikari dengan cuba melakukan aktiviti harian dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan ahli keluarga.

Pemuda itu berkata, walaupun sedar masalah dihadapi sukar untuk diubati, dia tetap berharap mereka berdua kembali pulih seperti biasa pada suatu hari nanti.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 9:45am
d