mutakhir

Gembira tawan Elbrus

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Saya begitu gembira dan puas dengan pendakian ini. Sesungguhnya ia hadiah buat negara menjelang Hari Kebangsaan,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol Mohd Nizam Aman yang berjaya menamatkan Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 di Russia pada Selasa lalu.

Lebih manis apabila Mohd Nizam, 40, bersama tujuh pendaki lain dapat mengibarkan Jalur Gemilang, bendera Negeri Sembilan dan UMNO di puncak gunung setinggi 5,642 meter itu.

Mohd Nizam berkata, pada 30 April tahun lalu, dia melakukan perkara sama apabila menawan Gunung Kilimanjaro di Afrika dan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera UMNO.

“Kibaran dua bendera ini membuktikan kesetiaan pada negara dan parti buat selama-lamanya.

“Saya tidak kisah biarpun mengeluarkan wang poket sendiri berjumlah RM16,000,” katanya.

Menurutnya, pendakian selama tujuh hari berdepan banyak cabaran dan ekspedisi bermula 16 Ogos lalu ditamatkan dengan jayanya.

“Pendakian bukan mudah, namun kami berjaya melengkapkan misi hasil ketabahan semua pendaki serta semangat berpasukan.

“Pendakian berjalan lancar dan saat paling membanggakan adalah Jalur Gemilang dikibarkan,” katanya.

Menurut Mohd Nizam, ekspedisi menawan gunung tertinggi di benua Eropah itu anjuran Kelab Jelajah Alpine, Yayasan Perdana Ummah dan Salute Malaysia.

“Selain misi untuk Hari Kebangsaan, kami membawa tanggungjawab lain iaitu mempromosikan kempen mengutip dana kepada Aman Palestin bagi membiayai bekalan air bersih di Syria,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 9:47am
d