mutakhir

2 sekali pengsan

Oleh Faliq Lajim

Klang: Kejadian dua wanita warga Indonesia pengsan selepas lif dinaiki tersangkut selama 15 minit bersama 10 individu lain di Pangsapuri Villamas, pagi semalam disebabkan melebihi muatan.

Dalam kejadian jam 6 pagi, 12 mangsa yang semuanya wanita terperangkap dalam lif di tingkat empat bangunan setinggi tujuh tingkat.

Dalam setiap blok, terdapat dua lif dengan kedua-duanya ditampal notis menyatakan hanya lapan orang dibenarkan naik dalam satu masa.

Penduduk Aishah Hamizi, 26, berkata, lif di pangsapuri itu selalu rosak berikutan ada penduduk tidak mempedulikan notis yang ditampal dalam lif.

“Sudah banyak kali kejadian ini berlaku. Jika berlaku kerosakan mesti disebabkan terlebih muatan. Notis menyatakan hanya lapan orang dibenarkan naik dalam satu masa, namun mereka langsung tidak mengendahkanya,” katanya ketika ditemui.

Katanya, penduduk seharusnya tidak mementingkan diri kerana ia akan menyebabkan kesulitan kepada orang lain.

Penduduk lain, Mafiratul Nikmah Kosaili, 18, berkata, kejadian penduduk pengsan di dalam lif juga pernah berlaku bulan lalu.

“Penduduk yang pengsan itu adalah warga emas kerana lif dinaiki ketika itu terlebih muatan. Pada waktu puncak terutama pagi dan petang, lif di sini akan dipenuhi ramai orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.32 pagi sebelum sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi.

“Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengumpil pintu lif yang tersekat dengan menggunakan tuil besi bagi mengeluarkan mangsa.

“Dua mangsa pengsan dan salah seorang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap pengurusan pangsapuri berkata, pihaknya sudah menampal notis di setiap lif dalam tiga bahasa untuk memaklumkan setiap lif tidak boleh melebihi muatan lapan orang, namun ada kala ia melebihi had dibenarkan.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 9:57am
d