mutakhir

Terjun sungai tinggal 27 lembu

Rantau Panjang: Dua penyeludup lembu bertindak nekad terjun ke Sungai Golok dan meninggalkan 27 lembu untuk mengelak ditangkap selepas dikejar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pangkalan haram Wakaf Zink di sini, kelmarin.

Mereka yang berusia 20-an itu bertindak berenang ke negara jiran dan meninggalkan bot yang sedang mengangkut dua lembu untuk menyeberangi Sungai Golok pada jam 12.45 tengah hari.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Nazari Abd Hadi berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut, pihaknya menemui 27 lembu termasuk yang berada di atas tebing di Wakaf Zink.

Serbuan menerusi Ops Wawasan itu merampas lembu bernilai RM94,500 dengan harga RM3,500 seekor.

“Sebelum serbuan, anggota mendengar bunyi bot di sekitar Sungai Golok dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kita menghampiri bot dinaiki dua lelaki yang bertindak terjun ke Sungai Golok dan mereka berenang ke negara jiran.

“Lembu yang dirampas itu diseludup dari negara jiran dengan harga murah sebelum dijual di negara ini dengan harga yang tinggi sempena sambutan Aidiladha ini,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lembu yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Penyeludupan lembu semakin rancak memandangkan mendapat permintaan yang tinggi kerana harga di negara jiran lebih murah berbanding lembu tempatan.

“ATM akan terus menjalankan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan lembu dan barangan lain,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 10:09am
d