mutakhir

Terbabas nak elak haiwan katanya

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PENUMPANG wanita parah manakala 10 lagi cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 52.5 Jalan Sungai Lerek, Setiu, awal pagi ini.

Bas yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan ke Kota Bharu dari Johor Bharu itu terbabas selepas dikatakan mengelak haiwan melintas, pada kira-kira 5 pagi.

Kejadian itu menyebabkan bas berkenaan melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbalik ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Ketika ini, identiti semua mangsa belum diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Roziman Mohd Amin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.08 pagi.

Katanya, dua pegawai dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

"Operasi tamat pada 6.50 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 10:11am
d