mutakhir

Kan dah mendapat

Oleh Hayati Ibrahim

PELANCONG warga Iran didenda RM2,500 dan dipenjara dua hari selepas didapati bersalah merokok dalam tandas pesawat.

Ali Firooz, 35, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Hukuman denda terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Norul Fitri Hamdan di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Ali Firooz didapati merokok dalam pesawat AirAsia X ketika dalam penerbangan dari Tehran ke klia2, Sepang, pada 7.55 pagi, 23 Ogos lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 100, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 peraturan sama.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, T Ashvinii.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon denda lebih tinggi memandangkan ia satu kesalahan serius dan tindakannya boleh membahayakan penumpang lain dalam pesawat.

Bagaimanapun, Zaflee memaklumkan tertuduh tidak mampu membayar lebih tinggi kerana tidak mempunyai wang dan sedang dalam perjalanan ke Belanda untuk mencari pekerjaan.

Majistret kemudian menetapkan hukuman denda RM2,500 dan penjara dua hari, jika gagal membayar denda tertuduh boleh dipenjara sebulan.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 11:37am
d