mutakhir

Didakwa salah guna kuasa

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENJAWAT awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, di atas 10 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan nilai suapan berjumlah RM272,850.

Tertuduh, Norsarimah Shahlan, 42, yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan,Norsarimah yang masih bujang itu didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan antara RM4,065 hingga RM48,065 dengan mengemukakan sebut harga syarikat adik beradiknya iaitu Arif Wibawa Resources, TT Kasih Enterprise dan Blek Lipis Enterprise.

Ia bagi melaksanakan projek membekal alatan pejabat, penyelenggaraan serta landskap di tempat kerjanya di Seri Kembangan.

Perbuatan itu dilakukan di antara bulan Januari 2013 hingga April 2014.

Berikutan itu didakwa mengikut Sekyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Heikal Ismail dan beliau memohon jaminan ditawarkan RM180,000 bagi semua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Norsarimah merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai wang sebanyak itu dan masih menyara ibu bapa serta adik-beradiknya.

Rozilah menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin selain perlu mendaftarkan diri setiap hujung bulan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula serta penyerahan dokumen.

Caption

SHAH ALAM 25 AUGUST 2017. Penolong Pegawai Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM), Norsarimah Shahlan 42, didakwa atas 10 pertuduhan salah guna kuasa memababitkan nilai suapan berjumlah RM272,850 di Mahkamah Sesyen Shah Alam. STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

Foto Mohd Asri Saifuddin

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 7:30pm
d