mutakhir

Ringankan beban

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM4 juta Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada 2,652 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kelantan, tahun ini.

Penuntut terbabit masing-masing menerima WPP berjumlah RM1,500 seorang bagi persediaan pengajian di peringkat ijazah.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohammad Fatmi Che Salleh berkata, wang itu diberikan bagi meringankan beban penuntut berkenaan dan ibu bapa mereka untuk membayar yuran.

Katanya, wang berkenaan dapat membantu pelajar untuk membuat persediaan menuntut di IPT.

"Saya harap penerima WPP menggunakan wang itu dengan sebaik mungkin dan tidak menyalahguna supaya ia mencukupi.

"Pelajar perlu bijak dalam mengurus wang supaya tidak timbul sebarang masalah selepas ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan WPP Peringkat Ijazah ke IPTA Sesi September 2017/2018, di Dewan Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 736 pelajar Parlimen Kota Bharu menerima WPP yang berjumlah RM1.1 juta.

Turut hadir, Pengurus Besar PTPTN Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat.

Pada masa sama, Mohammad Fatmi meminta masyarakat khususnya penuntut IPT supaya bijak menggunakan media sosial dengan tidak menerima maklumat secara bulat-bulat.

"Kita perlu bijaksana dan menyiasat kesahihan sesuatu maklumat bagi mengelak timbul fitnah," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 8:19pm
d