mutakhir

Alhamdulillah, Tok Pa tak apa-apa

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed terselamat selepas terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, 3.30 petang, hari ini.

Mustapa atau mesra disapa Tok Pa bersama pemandunya yang dikenali sebagai Muslim dan pengawal peribadi menaiki kereta jenis Hyundai dalam perjalanan bertemu rakyat di kawasan berkenaan.

Muslim berkata, sebelum kejadian, mereka dari Bachok menghala ke Kampung Batu Gajah untuk menziarahi penduduk.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, iaitu di simpang empat, kami berhenti untuk masuk ke simpang kanan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Polo dari arah depan.

"Kami tidak cedera," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kemalangan itu.

Katanya, tiada kecederaan dan kejadian berlaku ketika Mustapa mahu menziarahi rakyat.

"Kenderaan dinaiki beliau bersama pemandu dan pengawal peribadi mengalami sedikit kerosakan di sebelah kiri bahagian hadapan," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 8:32pm
d