mutakhir

Warga emas maut jatuh perigi

Oleh HM Digital

Pasir Mas: Seorang warga emas maut selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 3.5 meter di Kampung Wakaf Merah, Tendong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa, Bidah Yusof, 76, ditemui keluarganya selepas tergelincir ke dalam perigi berkenaan sebelum menghubungi bomba.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan menebas rumput di kawasan berhampiran berdasarkan penemuan sabit sebelum tergelincir ke dalam perigi berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Juri berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.40 malam sebelum enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa berada di dalam telaga berkenaan.

“Kami mengambil masa sejam mengeluarkan mangsa dari perigi menggunakan tali,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 9:03am
d