mutakhir

Syor bina rumah rakyat

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Status tanah terbiar berkeluasan 24 hektar milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Kastam, di sini, dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang bagi tujuan pembangunan untuk projek perumahan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia susulan permintaan Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru apabila meminta tanah itu dibangunkan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya turut beranggapan tanah berkenaan sesuai untuk dibina perumahan rakyat jika JKDM tidak memerlukannya lagi.

“Kalau Kastam tidak perlu (tanah), kita boleh bawa cadangan ke (mesyuarat) Kabinet untuk dilaksanakan projek perumahan atas permintaan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

“Kalau kita lulus, dia (Shahrir) kena awasi permasalahan projek ini. Sama ada melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) atau kerajaan negeri kita akan bincang.

“Sebab kalau kita boleh buat rumah dan jual pada harga RM42,000 macam Johor ini, Alhamdulillah, ramai orang dapat duduk,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Besar Johor.

Pada majlis berkenaan, Najib turut memperuntukkan RM2 juta kepada Yayasan Bandaraya Johor Bahru bagi manfaat penduduk bandar termasuk golongan muda dalam mendepani kos hidup di bandar yang semakin meningkat.

Terdahulu Shahrir dalam ucapannya meminta tanah milik kerajaan persekutuan yang tidak terbangun boleh diambil kira untuk keperluan perumahan generasi baru di Johor Bahru.

Katanya, antaranya termasuk tanah berkeluasan 24 hektar di Kampung Kastam dan Skudai Kanan.

“Saya bimbang tanah yang terbentang luas menaikkan nafsu pihak tertentu untuk membangunkan (projek hartanah) secara penswastaan dan perkiraan keuntungan.

“Saya harap Perdana Menteri berbincang dan beri kuasa kepada Menteri Besar supaya tanah milik kerajaan Persekutuan dimasukkan bagi pertimbangan perancangan lebih bermanfaat untuk rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 9:05am
d