mutakhir

Perjuangan Pak Dain

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Tumpat: Menghambakan diri dengan seni wayang kulit selama lebih tiga dekad tidak pernah membuatkan pesara ini penat mahupun berputus asa.

Sebaliknya, perjuangan Muhammad Dain Othman, 65, terhadap hiburan tradisional itu semata-mata mahu ia tidak pupus dan dikenang generasi baru sehingga akhir hayat.

Kecintaan yang tinggi juga menyebabkan bekas kakitangan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Pengkalan Chepa itu sanggup melabur sehingga RM250,000 untuk membina Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (GWKMTK) pada 2008 selepas dia bersara.

Pada tahun sama juga, dia menubuhkan pasukan mencari skuad pelapis bagi mengumpulkan semua pemain wayang kulit dan tok dalang.

Dia sendiri yang lebih dikenali sebagai Pak Dain juga adalah tok dalang yang mahir menguasai antara 30 ke 40 watak dalam persembahan wayang kulit.

“Saya minat dengan wayang kulit sejak berusia 29 tahun lagi dan ambil masa dua tahun setengah untuk memahirkan diri menjadi seorang tok dalang yang hebat dan menguasai warisan ini.

“Walaupun zaman sudah berubah, namun wayang kulit masih mempunyai peminatnya tersendiri dan ‘pejuang’ seperti saya perlu mempertahankannya untuk tatapan generasi mendatang.

“Sebab itu juga saya sanggup melabur dengan pembiayaan sendiri untuk tubuhkan GWKMTK dan mencari pelapis yang mahu mempertahankan wayang kulit,” katanya yang mempunyai koleksi lebih 1,000 watak wayang kulit yang dihasilkan sendiri untuk dijual mahupun melakukan persembahan atau latihan.

Pak Dain turut menjadikan galerinya yang terletak di Kampung Morak, Palekbang sebagai pusat rujukan wayang kulit bagi pelancong tempatan dan luar negara, selain bahan kajian untuk penuntut universiti.

“Selama 36 tahun memperjuangkan wayang kulit ini, saya sedar minat generasi muda terhadapnya sangat kurang walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Mungkin orang sekarang tidak minat mendengar kisah dewa dewi, bahan cerita tradisional yang suatu ketika dahulu sangat dinanti-nantikan.

“Atas sebab itu, saya dan kumpulan saya merangka wayang kulit fushion pada 2013 yang menggabungkan unsur tradisi dan moden untuk tarikan orang muda. Ini termasuk menukar storyline kepada cerita sains fiksyen seperti Star Wars,” katanya yang mula menjadi tok dalang menerusi kumpulan Sri Wayang Kampung Paloh.

Dia mengakui wayang jenis begitu mula mempunyai peminat tersendiri dan akan dipersembahkan di Gelanggang Seni di Kota Bharu mahupun sekitar galerinya pada masa tertentu terutama hujung minggu dan cuti sekolah.

Katanya, tiada perbezaan jelas antara wayang kulit tradisional dengan fushion sebaliknya watak dan juga jalan cerita yang lebih kemodenan.

Selagi wayang kulit masih digemari rakyat tempatan Pak Dain akan terus bertahan dan galerinya akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadi sumber rujukan seni budaya bangsa itu.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 9:39am
d