mutakhir

Enam pendaki wanita selamat tiba di Russia

Oleh HM Digital

Azau, Russia: Pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) yang disertai enam pendaki wanita negara dalam misi menawan puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, selamat tiba di Lapangan Terbang Mineralnye Vody, Russia, semalam.

KSP bersama 10 pendaki lain dari projek Negaraku diketuai Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Ahmad Fakhri Abu Samah sebelum itu bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 malam Rabu lalu dan transit di Bangkok, Thailand sebelum menyambung perjalanan ke Moscow.

Dari Moscow, KSP kemudian mengambil penerbangan domestik ke Mineralnye Vody yang mengambil masa dua jam 15 minit sebelum menyambung perjalanan menggunakan bas ke Perkampungan Terskol.

Misi KSP untuk menawan puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus itu disertai pendaki berpengalaman Fazilah Abd Manan, bekas pesakit kanser Renee Aziz Ahmad, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang Nir Azmin Adnan, eksekutif projek Nurul Huda Shamsuddin dan Ummu Farah Haidar Zulkifli selaku pengarah program. - Fairul Asmaini Mohd Pilus

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 8:18am
d