mutakhir

Tragedi kunci air

Oleh Hafizee Arop dan Balqis Jazimah Zahari

Hutan Melintang: Kegembiraan tujuh rakan berkelah dan mandi di kawasan kunci air Batu 8 1/2, Taman Semesti, Jalan Maharajalela, di sini, ketika musim cuti persekolahan yang baru bermula, semalam, berakhir dengan kesedihan apabila dua daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian jam 11.41 pagi, dua mangsa yang ditemui lemas ialah Mohamad Harith Danieal Haris dan Mohamad Haikal Sjukri masing-masing berusia 15 tahun dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang.

Difahamkan, mayat Mohamad Harith Danieal ditemui orang awam jam 12.10 tengah hari dalam keadaan tersangkut di tebing manakala mayat Mohamad Haikal ditemui jam 4.04 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat berdekatan kunci air.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa pertama iaitu Mohamad Harith Danieal dipercayai terjun serta mandi di tengah kawasan kunci air itu menyebabkannya lemas.

Katanya, melihat mangsa terkapai-kapai menyebabkan Mohamad Haikal terjun untuk menyelamatkannya namun gagal sebelum kedua-duanya tenggelam walaupun rakan lain cuba membantu dengan menghulurkan kayu.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat dan operasi dihentikan selepas mangsa ditemui.

“Saya menasihatkan pelajar supaya berhati-hati melakukan aktiviti dan seelok-eloknya memilih aktiviti yang bermanfaat serta memaklumkan setiap aktiviti mereka kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Tuan Soh Tuan Lah berkata, pihaknya membuka pusat operasi di kawasan berkenaan selepas mangsa kedua gagal ditemui.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan anggota BBP Hutan Melintang dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pulau Pangkor akhirnya berjaya menemui mangsa kedua.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 8:39am
d