mutakhir

Gaji besar luar bandar

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Usaha dan tekad tiga gadis menjalankan perniagaan secara dalam talian membuahkan hasil apabila mereka kini mampu menjana pendapatan mencecah lima angka sebulan.

Walaupun tanpa pengalaman, Nor Izati Abdul Rahim, 23; Fatin Liyana Mohd Nasir, 23, dan Irdanor Hajar Ramli, 26, membuktikan tiada yang mustahil untuk berjaya jika mempunyai keazaman dan visi yang tepat.

Bagi mereka persepsi bahawa peluang perniagaan hanya di bandar besar saja adalah mitos yang perlu dibuang jauh dalam diri setiap graduan kerana pelbagai program disediakan kerajaan untuk membantu masyarakat termasuk program e-Rezeki dan e-Usahawan.

Menurut Nor Izati, tindakannya menjalankan perniagaan makanan dan minuman serta perkakasan bakeri secara dalam talian menerusi e-Usahawan adalah tepat.

“Perniagaan yang saya ceburi adalah dalam bidang makanan segera dan kini saya menjual barangan dan bahan utama membuat kek di samping perkakasannya secara dalam talian.

“Selepas tamat pengajian di universiti, hasil dorongan ibu dan ayah saya memulakan perniagaan di kampung halaman dan pada peringkat permulaan pendapatan bulanan secara bersih adalah sekitar RM600 sahaja,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini tinggal di Kampung Guar Syed Alwi, di sini.

Pemegang sijil diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, minatnya dalam pembuatan kek secara tidak langsung mendorong dia menceburi bidang itu.

“Melalui program e-Usahawan yang saya sertai sejak tahun lalu, pendapatan saya mulai meningkat dan sejak awal tahun ini, pulangan bersih bulanan saya RM12,000 dengan hanya menjual tepung kek segera,” katanya.

Pendapat sama disuarakan peniaga peralatan kosmetik dan tudung wanita, Irdanor Hajar yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kadang-kadang ada rasa rendah diri kerana kawan lain melanjutkan pelajaran di universiti tapi saya cuma bekerja sebagai pembantu restoran selepas tamat SPM pada 2008.

“Minat berniaga timbul sejak tiga tahun lalu, cuma waktu itu tak tahu produk apa yang ingin dipasarkan. Saya memilih jadi ejen kepada produk orang lain dan pada masa sama menjualnya secara terus kepada pelanggan dan memasarkan produk secara dalam talian,” kata suri rumah beranak satu ini.

Katanya, selepas menghadiri kelas ditawarkan melalui program #YOUCANDUIT menerusi program e-Usahawan, dirinya mula terbuka untuk berniaga dan sedar tidak perlu berhijrah ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memperoleh pendapatan lima angka.

Bagi graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Fatin Liyana, dia kini giat melukis komik dan memasarkannya secara digital melalui program e-Rezeki.

“Jika dahulu kerjaya sebagai pelukis dipandang rendah hanya kerana pendapatan yang dijana dikatakan tidak mampu untuk menyara diri sendiri apatah lagi keluarga.

“Saya tidak nafikan saya juga tergolong dalam kumpulan pemikiran sedemikian namun kini tidak lagi.

“Kini dengan melukis, saya menjual kemahiran saya sehingga menembusi pasaran Timur Tengah dan apa yang lebih menggembirakan pendapatan saya dibayar dalam mata wang dolar Amerika Syarikat,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.

Ketiga-tiga mereka adalah peserta program e-Usahawan dan e-Rezeki menerusi kempen #YOUCANDUIT yang dilaksanakan programnya sejak November tahun lalu bagi membantu usahawan belia dan remaja peroleh pendapatan dengan menjual produk dan kemahiran mereka secara dalam talian.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 8:44am
d