mutakhir

Malang 2 tapir

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kecederaan serius pada kepala dan perut dikenal pasti menjadi punca dua ekor tapir mati selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melintas di Jalan Pintasan Kuantan-Gebeng, dekat sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam ketika haiwan berusia antara lapan dan 10 tahun itu melintas jalan selepas keluar dari hutan di kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang Ahmad Azhar Mohammed berkata, kemalangan membabitkan dua tapir mati dilanggar secara serentak jarang berlaku di negeri ini berbanding negeri lain yang pernah direkodkan sebelum ini.

Katanya, berdasarkan rekod PERHILITAN Pahang mendapati belum pernah berlaku kejadian tapir mati dilanggar kenderaan di laluan berkenaan berikutan ia adalah kawasan hutan belukar dan tanah pamah.

“Tapir aktif pada sebelah malam untuk mencari makan di kawasan yang banyak tumbuhan rendah, tetapi kemalangan berlaku apabila haiwan itu cuba melintas jalan di laluan utama yang banyak kenderaan.

“Dalam tempoh lapan bulan tahun ini, sebanyak lima tapir mati selepas terbabit kemalangan di daerah ini dan beberapa daerah lain,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Azhar berkata, bagi mengurangkan kemalangan membabitkan tapir di negeri ini, pihaknya berusaha menambah lebih banyak papan tanda peringatan kawasan lintasan haiwan berkenaan.

Menurutnya, beberapa laluan di Pekan seperti Jalan Kuantan-Pekan dengan Kampung Lamir serta Jalan Nenasi-Rompin Batu 16 dikesan menjadi kawasan lintasan tapir.

Katanya, tahun lalu seekor tapir jantan berusia tujuh tahun seberat 300 kilogram mati dilanggar kereta ketika cuba melintas di Kilometer 25 Jalan Kuantan-Gambang berhampiran Kampung Seri Fajar.

“Pembukaan hutan secara berleluasa menjadi faktor utama binatang seperti tapir, gajah dan babi hutan keluar dari kawasan berkenaan untuk mencari makan, tetapi kemalangan berlaku apabila haiwan terbabit cuba melintas jalan,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 8:46am
d