mutakhir

APM sasar 2 juta anggota

Oleh Rosliza Mohamed

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia(APM) menyasarkan dua juta anggota menyertai pasukan sukarelawan itu sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Azmy Yahya berkata, justeru itu orang ramai diseru supaya menyertai pasukan sukarelawan terbabit.

"Pembabitan mereka dalam pasukan ini dapat membantu agensi penguatkuasaan lain dalam apa sahaja termasuk pertolongan cemas seperti bencana banjir, kemalangan, menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tugas khas.

"Antara tujuannya untuk memberi keselesaan dan menggembirakan orang ramai yang berada di negara ini dan APM sentiasa bersiap sedia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Kelantan, Zainuddin Hussin.

Azmy berkata, sehingga kini 1.6 juta orang terbabit dalam APM.

Katanya, sempena Aidiladha ini, 3,000 anggota APM di seluruh negara akan bertugas membantu agensi penguatkuasaan lain.

Sementara itu, Faudzi berterima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri kerana melantiknya sebagai pegawai dalam APM dengan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).

Menurutnya, tanggungjawab itu akan dilaksanakan dengan lebih mantap bersama pentadbiran negeri dan APM dalam menyelesaikan bencana seperti banjir pada 2014 dan wabak selsema burung H5N1 baru-baru ini.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 11:49am
d