mutakhir

Nenek, cucu dilarikan, disamun

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

WANITA bersama dua cucunya menempuh detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka dilarikan lelaki tidak dikenali di stesen minyak di Batu Jong, Kuala Krai, 10.40 malam tadi.

Mangsa, 63, bersama cucu perempuannya berusia enam dan dua tahun dilarikan 25 kilometer dan barang kemas disamun sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Bukit Bakar, Machang.

Sebelum kejadian itu, ketiga-tiganya bersama suami wanita berkenaan berusia 60 tahun dan anak perempuan berusia 23 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, kereta dipandu anak mangsa berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengepam tayar kereta.

"Ketiga-tiga mangsa menunggu di tempat duduk penumpang belakang kereta apabila anak perempuan mengisi angin tayar, manakala suami mangsa ke tandas.

"Secara tiba-tiba, dua lelaki dipercayai lingkungan 20-an memasuki tempat duduk hadapan dan kereta diundurkan untuk dibawa lari.

"Suami mangsa yang keluar dari tandas sempat menarik seorang suspek, namun tidak berjaya menghentikan kereta. Anak mangsa turut melihat Proton Wira berwarna biru dipandu seorang lelaki mengekori rapat kenderaan itu," katanya di Kuala Krai, hari ini.

Beliau berkata, ketika dilarikan, mangsa diacukan pisau di leher dan diarah menyerahkan semua barang kemas yang dipakai.

Mereka kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan di Bukit Bakar, Machang pada 12.30 tengah malam sebelum diselamatkan orang awam.

"Mangsa membuat laporan di balai polis dan keretanya ditemui setengah jam kemudian di kawasan berdekatan, dipercayai terbabas di tepi jalan.

"Bagaimanapun, suspek melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan," katanya yang memberitahu mangsa kerugian RM9,000.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 3:24pm
d