mutakhir

Latihan altitud lebih 3,000 meter

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus (Dari Kabardino-Balkaria Russia)

MENDAKI dari perkampungan Terskol pada ketinggian 2,125 meter (m) ke Terskol Peak (3,125m) adalah pengisian latihan hari kedua penyesuaian altitud tinggi pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) dalam misi menawan puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60.

KSP yang disertai pendaki berpengalaman Fazilah Abd Manan, Renee Aziz Ahmad (bekas pesakit kanser), Nir Azmin Adnan (guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang), Nurul Huda Shamsuddin (eksekutif projek), dan Ummu Farah Haidar Zulkifli selaku Pengarah Program itu memulakan latihan seawal jam 8 pagi waktu tempatan.

Menurut Nir Azmin, latihan itu dapat menguji kemampuan dan stamina pendaki bagi menghadapi latihan yang lebih sukar esok.

“€œSelain itu, ia juga membantu pendaki supaya lebih bersedia untuk berdepan keadaan altitud lebih tinggi pada sesi latihan seterusnya.

"Latihan ini penting bagi mengelakkan pendaki daripada terkena ‘akut gunung’ atau lebih dikenali sebagai Altitude Mountain Sickness (AMS),” katanya hari ini.

Sementara itu, Ummu Farah berkata, pendakian hari ini merangkumi trek pendakian kawasan pergunungan Terskol Peak hampir 20 kilometer jaraknya.

"Latihan ini memfokuskan kepada daya ketahanan pendaki bagi berhadapan dengan latihan di kawasan altitud lebih tinggi esok.

"Kami bertuah kerana cuaca panas sepanjang dua hari berada di Perkampungan Terskol dan berharap ia akan berterusan sehingga 31 Ogos nanti," katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 8:44pm
d