mutakhir

Bawa pelajar lawat penjara

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Jabatan Penjara bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menghasilkan modul khusus bagi membantu pelajar yang berdepan masalah disiplin serius pada program lawatan penjara seperti dicadangkan kementerian itu sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pihaknya menyambut baik idea lawatan penjara itu bagi menunjukkan kepada pelajar bermasalah hukuman yang akan dikenakan sekiranya mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Sebenarnya, kami bekerjasama dengan kementerian sebelum ini menerusi program Mesej dari Penjara di mana penghuni akan pergi ke sekolah dan memberi ceramah mengenai pengalaman mereka berada di penjara.

“Modul sama juga akan diperkenalkan, namun kali ini pelajar dijangka melawat penjara. Bagaimanapun, perkara ini dalam perbincangan,” katanya kepada media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) 2017 di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping, di sini, semalam.

Menurut Zulkifli, modul baru itu akan merangkumi sesi kaunseling dan kaedah pembelajaran secara operant conditioning yang mana tingkah laku seseorang itu dikawal melalui akibat yang akan berlaku sekiranya ia terus dilakukan.

“Kaedah ini digunakan secara meluas di United Kingdom (UK) dan pendedahan yang sama juga diberikan kepada pelajar di sana supaya mereka tidak mudah terpengaruh melakukan jenayah.

“Namun, saya rasa program seperti ini tidak akan mendapat kebenaran daripada sesetengah ibu bapa kerana beranggapan ia bukan penyelesaian terbaik membantu anak mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 10:32am
d