mutakhir

Lari bawa anak

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Klang: “Saya hanya sempat mengambil dokumen penting dan mendukung dua anak keluar dari rumah,” kata Salbiah Majid, 29, mangsa kebakaran tiga kediaman di Jalan Hamzah Alang, Taman Haji Hamzah, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian jam 10.30 pagi, dia bersama anak berusia tiga dan lima tahun di dalam rumah sebelum mendengar ketukan jiran yang mengatakan rumahnya terbakar.

“Saya mulanya mendengar bunyi bising yang disangka orang bergaduh. Namun, jiran mengetuk pintu rumah sambil menjerit memaklumkan rumah saya terbakar.

“Saya terus mengambil dokumen penting dan menyelamatkan anak,” katanya di Pusat Pemindahan Dewan Sri Krayong, di sini, semalam.

Salbiah yang juga suri rumah berkata, ketika kejadian suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Jiran memberitahu rumah kosong bersebelahan terbakar sebelum merebak ke rumah saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kami sekeluarga terselamat dan nasib dialami mendapat perhatian ketua kampung dan penduduk setempat,” katanya yang baru setahun menetap di situ.

Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 11.06 pagi.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah termasuk satu musnah sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kejadian dan nilai kerugian disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 10:50am
d