mutakhir

Bakti Sahabat Maktab

Oleh Nasharuddin Muhammad

Makkah: Program Sahabat Maktab yang dilaksanakan pengurusan Tabung Haji (TH) adalah medan terbaik kepada jemaah yang mempunyai ilmu dan kepakaran tertentu untuk menyumbang khidmat bakti secara sukarela membantu rakan jemaah lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program diperkenalkan sejak 2006 itu nyata berkesan membantu petugas haji menguruskan keperluan, kebajikan dan keselamatan jemaah.

Beliau berkata, pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan 600 petugas haji sudah tentu sukar bagi mereka menguruskan jemaah yang bertambah kepada 30,200 orang.

Menurutnya, dengan bantuan jemaah terpilih yang dilantik sebagai Sahabat Maktab, ia sedikit sebanyak membantu petugas haji menguruskan keperluan jemaah lain.

Katanya, Sahabat Maktab dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat TH, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat yang memberikan khidmat mereka secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Beliau berkata, pada tahun ini TH melantik keseluruhan 320 Sahabat Maktab membabitkan pelbagai kategori yang bertugas di maktab penginapan masing-masing.

“Saya rasa itu jumlah optimum untuk membantu 600 petugas haji memberikan perkhidmatan terbaik kepada dhuyufurrahman.

“Bagi Sahabat Ibadat, mereka boleh menjadi imam dan bilal di surau dan Sahabat Medik pula boleh membantu memberi nasihat kepada jemaah yang sakit atau memerlukan bantuan tambahan.

“Semoga khidmat sukarela menjadi asbab mereka memperoleh haji mabrur,” katanya ketika melancarkan program berkenaan di Maktab 81, di sini.

Hadir sama, Konsul Haji di Jeddah Mohammad Saimi Mat Som dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda, seorang daripada jemaah di maktab berkenaan.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 10:55am
d