mutakhir

Kalau dah minat

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 400 kilometer (km) dan berhabis ratusan ringgit menginap di hotel semata-mata mahu membawa keluarga menyaksikan aksi atlet pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Itu antara pengorbanan rakyat negara ini yang tidak mahu terkecuali menyaksikan secara langsung aksi atlet negara khususnya pada sukan tempur seperti taekwondo, karate dan judo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati ada yang sanggup memohon cuti tahunan, membawa 10 ahli keluarga termasuk sanak-saudara, malah menjadikan KL2017 sebagai medan reunion ahli keluarga yang jauh mengeratkan silaturahim melalui semangat kesukanan.

Pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Mohammad Paiman, 46, berkata, dia tiba di Kuala Lumpur Sabtu lalu semata-mata membawa lima anaknya berusia satu hingga 13 tahun menyaksikan sukan taekwondo.

“Dua anak saya adalah skuad pelapis taekwondo Kelantan termasuk perempuan sulung yang juga bekas juara Taekwondo Remaja Kebangsaan 2015. Oleh itu saya tidak kisah berhabis duit, tenaga dan masa membawa mereka ke KL2017.

“Peluang Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA bukan mudah jadi apa salahnya saya berkorban sedikit memberi dorongan dan galakan kepada anak selain menyokong atlet negara,” katanya yang akan pulang ke Kota Bharu Rabu ini.

Kakitangan kerajaan Mohd Suaimi Ramli, 43, berkata, dia tiba dari Pulau Pinang malam kelmarin bersama isteri serta tiga anaknya berusia tujuh hingga 14 tahun untuk menyaksikan sukan judo.

“Memang saya rancang datang ke Kuala Lumpur selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk menyaksikan KL2017 bersama keluarga.

“Bagi saya, menjadi satu kerugian melepaskan peluang melihat depan mata jaguh atlet dari seluruh negara Asean beraksi pada temasya dwi tahunan terbesar di rantau ini,” katanya.

Jururawat Hospital Jengka, Pahang, B Nagama, 38, berkata, dia sekeluarga seramai 10 orang terdiri abang, kakak ipar, ibu, adik, anak serta lima anak saudaranya menjadikan KL2017 sebagai medan pertemuan merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Saya masih ingat kali terakhir kami berkumpul pada acara sukan terbesar adalah 19 tahun lalu iaitu ketika menghadiri Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998.

“Waktu itu, saya masih bujang dan apabila dapat berkumpul pada Sukan SEA 2017, ia mengembalikan nostalgia hampir dua dekad lalu,” katanya yang mengambil cuti selama tiga hari menyaksikan acara sukan ini.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 11:18am
d