mutakhir

Denda gagal kemukakan penyata GST

Oleh Aizat Sharif

SYARIKAT swasta yang menguruskan stesen minyak di Sungai Petani didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini bagi 11 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), hampir setahun antara 2015 hingga tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan memerintahkan keputusan berkenaan selepas Syarikat Neoh Ah Ba Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Neoh Eng Koi, 49 mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh yang berpakaian kemeja T dan berseluar jeans menggangguk faham dan mengakui fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Berdasarkan 11 pertuduhan berkenaan, syarikat Neoh Ah Ba didakwa gagal mengemukakan penyata dalam tempoh yang ditetapkan bagi tempoh bercukai antara 1 April 2015 hingga 30 April tahun lalu.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST Lot 499, Jalan Lencongan Timur, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada 1 Julai 2015 jam 8 pagi.

Oleh hal demikian, syarikat terbabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda diringankan kerana kekhilafan tertuduh dalam memahami prosedur dalam mengemukakanpenyata GST.

Selain itu juga, tertuduh memaklumkan begitu menyesali perbuatan berkenaan dan sudah mematuhi peraturan dengan menghantar penyata GST mengikut tempoh ditetapkan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Unit Tindakan Kriminal Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah, D R Karthy Gasadev yang memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada syarikat tertuduh supaya tidak mengambil mudah mengenai penghantaran penyata itu.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 2:43pm
d